Tuesday 13 March 2018

Tips Mengurangkan Stress


Beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stress anda ..

1). Melihat keindahan alam sekeliling .Kehijauan pohon-pohon dan persekitaran yang nyaman.

2). Membaca Al-Quran dan berzikir untuk menenangkan minda.

3). Melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti berjogging dan bersukan

4). Bergaul dan mengeratkan hubungan dengan saudara -mara serta
rakan-rakan .Elakkan bersendirian .

5). Makan makanan yang boleh mengurangkan tekanan.Contohnya asparagus, avokado, telur, ikan salmon, susu, badam, buah oren, bayam, labu, mangga, coklat, roti gandum , air sejuk ,  teh dan oatmeal.

6). Meditasi atau yoga amat baik untuk mengawal emosi dan juga fikiran.

7). Menonton rancangan tv  kesukaan dan program-program yang menceriakan.

8). Rancang jadual harian dan ikut dengan penuh disiplin.

9). Tidur yang mencukupi dan makanan yang seimbang

10). Bersangka baik dengan Allah

11). Sayangi diri kita sendiri ."Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain".

12). Bercerita dan meluahkan masalah yang dihadapi dengan teman rapat yang dipercayai.

13). Selalu berdoa kepada Allah  dan yakin dengan bantuan Allah SWT






Monday 12 March 2018

Tiada Arah Jodoh Kita

Slot Akasia TV3 = Tiada Arah Jodoh Kita
Pukul 7.00pm ( Isnin hingga Jumaat)Pelakon : Shukri Yahaya, Aprena Manrose, Hafeez Mikail, Erwin Dawson, Mustaqim Bahadon, Azar Azmi, Livonia Ricky, Dian P.Ramlee, Aleza Shadan, Azhar Amir, Farisha Irwayu dan ramai lagi
Sinopsis :
Afia Awliya (lakonan Aprena Manrose) setia menanti kepulangan kekasih hatinya, Fayyad Syakir (Erwin Dawson)  yang menuntut di luar negara. Kebahagian yang diharapkan, tetapi kekecewaan pula yang diterimanya. Sebaik sahaja pulang, Fayyad telah meminta Afia untuk berkahwin dengan rakan baiknya bernama Megat Wakeel. Wakeel tidak akan hidup lama dan menunggu detik untuk kembali kepada penciptanya.

Tatkala jiwa itu sarat dibanjiri rindu pada yang telah pergi, dia dihujani dengan dua lamaran. Fayyad kembali menagih janji lama. Aathif pula... Kenapa tiba-tiba dia boleh ada dalam kisah hidup Afia?“I’m back! Saya akan gantikan bahagia awak yang hilang, Pia.” Fayyad Syakir.
“Saya akui saya tak pandai jaga hati orang. Tapi... saya nak jaga hati awak!” Megat Aathif.

Pandangan saya :
Sudah lama sebenarnya tidak mengikuti drama di slot Akasia jam 7.00 malam di TV3. Namun entah bagaimana telah terpaut pula dengan kisah Tiada Arah Jodoh Kita.

Cerita yang menarik. Meskipun punya kisah cinta yang rumit. Sakit sebenarnya apabila orang yang mula dicintai pergi selama-selamanya menghadap Ilahi. Meskipun ada yang menunggu dan sudi mengganti, tetapi hati bukanlah boleh ditukarganti semudah ABC.

Pengalaman Sakit Tumit

Sakit Tumit. Sudah sebulan saya mengalaminya. Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja yang mengetahui bagaimana dugaannya. Mood kita akan terganggu dan aktiviti-aktiviti harian juga agak terhad. Meskipun ada rasa sakit , tetapi tidak ada rasa bengkak atau kemerahan di bahagian tumit tersebut.
Sejak mengalami sakit tumit saya telah mengurangkan aktiviti berjalan kaki yang agak jauh. Begitu juga aktiviti berjogging juga sudah tidak saya lakukan. Kebanyakkan waktu lapang saya hanya berehat dirumah. Mula lah minyak angin menjadi antara teman rapat saya.

Kebiasaannya sakit tumit ini mempunyai ciri-ciri berikut :
- Rasa sakit di bahagian tumit dan persekitarannya terutamanya ketika bangun dari tidur.
Sakit ini akan beransur-ansur hilang apabila kita mula berjalan dan melakukan pergerakkan.

- Mula berdiri apabila telah duduk lama. Contohnya bangun dari kerusi atau bangun dari duduk di lantai. 


Apabila sudah ada rasa sakit di anggota badan, saya mula google untuk mencari punca dan cara-cara merawatnya. Diantara info yang saya perolehi, sakit tumit ini berpunca daripada perkara-perkara berikut :


  • mempunyai berat badan berlebihan
  • berdiri terlalu lama setiap hari
  • masalah kesihatan seperti rheumatoid arthritis atau lupus (systemic lupus erythermasotus)
  • mempunyai tapak kaki rata atau lengkungan kaki yang luar biasa tinggi
  • pemakaian kasut yang tidak sesuai
  • melakukan senaman berat yang mengenakan tekanan besar pada tumit dan tisu disekeliling.

Walau bagaimanapun, beberapa hari lepas saya telah ke klinik . Tujuan saya ke klinik tersebut bukanlah disebabkan oleh sakit tumit ini. Tetapi disebabkan oleh sakit tekak dan selsema. Saya mengambil peluang untuk bertanyakan tentang sakit tumit ini. Doktor menasihatkan saya untuk melalukan perkara-perkara berikut :

1). Memilih kasut yang bersesuaian 
2). Mengurangkan pengambilan teh , kopi atau minuman yang berkafein. Jika mahu mengambilnya, tidaklah terlalu pekat.
3). Banyak mengambil makanan yang mempunyai kandungan kalsium. Kalsium kan bagus untuk tulang.
Mungkin juga saya kekurangan kalsium. 

Antara makanan yang mengandungi kalsium yang tinggi ialah :

1). Keju
2). Susu 
3). Yogurt
4). Sayuran Hijau terutamanya bayam dan brocolli
5). Tofu
6). Ikan salmon
7). Ikan Sardin
8). Oatmeal
9). Kacang Almond


Sunday 11 March 2018

Boleh Cuba Penawar Kencing Manis

Tidak Perlu lagi Insulin!! Inilah Resepi Penawar Kencing Manis..


Hari ni saya nak kongsi Resepi Penawar Kencing Manis menggunakan Superfood Bawang Putih dan bahan semulajadi di dapor kita. Resepi ni sebenarnya dari timur tengah dan telah lama di amalkan oleh orang arab sejak turun temurun lagi. Kadar gula dalam badan dapat di stabilkan dengan segera tanpa insulin .
Tujuan perkongsian saya adalah untuk membantu lebih ramai orang merawat dan mencegah Penyakit Kencing Manis yang menghantui masyarakat kita.

Resepi Penawar Kencing Manis
5 ulas Bawang Putih
1 biji buah Lemon
2 inchi Halia
1 sudu besar Madu Royal Yemen
Caranya

1. Hiris nipis lemon, halia dan bawang putih tadi. Kemudian didihkan 500ml air. Setelah mendidih air tadi, masukkan bahan secara berperingkat di mulai dengan lemon, kemudian halia dan yang terakhir bawang putih.

2. Masak selama 10 minit dan kemudian tapis dan masukkan kedalam gelas. Biarkan air tadi sejuk dan masukkan sesudu Madu Royal sebagai pemangkin resepi kita tadi.

3. Minum air campuran madu tadi semasa perut kosong, seeloknya pada waktu pagi. Insha Allah tekanan gula dalam darah akan turun dan stabil seperti biasa.
Khasiat Lemon
Sebagai Antibacteria dan Antivirus
Mempunyai Anti Oksida yang tinggi
Mengurangkan Lemak
Menguruskan badan
Dapat meningkatkan hidrasi dan berikan tenaga.
Mencantikkan kulit
Membantu penghadaman makanan
Khasiat Halia
Memperbaiki saluran darah dalam badan
Meningkatkan penyerapan nutrien dalam usus
Mengurangkan ketidakselesaan perut
Mencegah Barah usus
Mengurangkan sakit dan radang
Rawatan untuk kanser Ovari
Menguatkan imuniti badan
Mengurangkan morning sickness
Khasiat Bawang Putih
Mencegah keracunan makanan
Mengubati jangkitan kulat pada kulit
Menambahkan tenaga dan stamina
Mencegah serta mengubati demam dan selsema
Mengawal berat badan
Menjaga jantung dan menurunkan kolestrol serta tekanan darah tinggi
Mengurangkan angin dalam badan
Lagi satu selepas beberapa hari mengamalkan minuman Resepi Penawar Kencing Manis ni di galakkan anda mengambil bacaan gula untuk mengetahui keberkesanan resepi ini.
Saya izinkan Share untuk bantu orang yang memerlukan, terima kasih.
Sumber: http://viralkan.win

Friday 9 March 2018

Murung akibat hormon tak stabil

Ingin saya berkongsi artikel yang menceritakan tentang kemurungan. Kemurungan ini mungkin berlaku diluar sedar atau diluar kawalan kita. Semoga artikel ini membantu kita untuk menjadi lebih peka di dalam kita menjalani kehidupan kita.


Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan emosi seseorang individu semakin menurun. Ia mungkin menjejaskan kehidupan harian individu dari segi perasaan, tingkah laku, pemikiran dan kesejahteraannya.

Sedih dan kecewa itu lumrah. Namun, sekiranya ia berlarutan sehingga berminggu dan mengganggu aktiviti seharian, ia adalah satu masalah kesihatan.

Kemurungan menyebabkan seseorang menjadi antisosial kerana kurang keyakinan diri atau berasakan dirinya bersalah dalam segala hal.

Gejala kemurungan termasuk perubahan corak tidur sama ada terlebih atau terkurang, sering marah atau menangis, tidak bermaya, berat badan turun mendadak serta kurang daya tumpuan sehingga tidak dapat membuat keputusan yang mudah.

Dalam keadaan serius, seseorang individu yang mengalami kemurungan mungkin melakukan cubaan untuk cederakan diri sendiri dan membunuh diri.

Berdasarkan kajian beban penyakit yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan dijangka menjadi penyakit kedua teratas menjelang 2020 selepas penyakit jantung di seluruh dunia. Ini bermakna semakin ramai masyarakat dunia yang berpotensi untuk membunuh diri.

Pesakit kemurungan biasanya tidak mengaku dirinya murung. Oleh itu, peranan orang terdekat untuk menyedarkan mereka adalah sangat penting.

Jangan biarkan mereka bersendirian supaya tragedi yang tidak diingini dapat dielakkan. Bawa individu yang bermasalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Beberapa faktor kemurungan yang dikenal pasti adalah genetik, kecederaan otak akibat kemalangan, penggunaan dadah, masalah kewangan, kemerosotan kesihatan fizikal atau masalah sosial, mengalami peristiwa hidup yang tragis seperti kehilangan pasangan, pengambilan sesetengah jenis ubat dan sebagainya.

Keadaan ini mengubah fisiologi badan. Hormon serotonin, dopamin dan norepinefrin yang bertanggungjawab dalam mengawal perasaan di otak menjadi tidak seimbang lalu menyebabkan kemurungan. Berdasarkan faktor di atas, kemurungan sebenarnya boleh dibantu melalui rawatan ubat.

Ada pelbagai jenis ubat antikemurungan atau ubat psikotropik yang efektif serta selamat untuk digunakan. Secara amnya, ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan penyakit kemurungan bertindak mengawal ketidakseimbangan hormon yang terbabit.

Ubat-ubatan psikotropik biasanya dipreskripsikan oleh doktor kepada pesakit bergantung kepada jenis dan tahap kemurungan pesakit.

Apabila keseimbangan hormon ‘perasaan’ diperbetulkan, maka kemurungan akan dapat diatasi. Namun, penggunaan sesetengah ubat-ubatan ini mungkin memberi kesan sampingan yang tidak diingini kepada pesakit.

Antaranya adalah kegemukan, loya, muntah, kembung perut dan kitaran haid yang tidak teratur. Bagaimanapun, keadaan pesakit mungkin lebih teruk sekiranya ubat tidak diambil berbanding kesan sampingan yang dialami.

Oleh itu, jika pesakit mengalami kesan sampingan ubatan yang diberi, maklumkan kepada doktor agar penukaran kepada ubat lain atau penggunaan ubat yang boleh mengatasi kesan sampingan itu dapat dilakukan. Teruskan pengambilan ubat seperti diarahkan oleh doktor.

Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, pendidikan psikologi dan pemulihan psikososial juga memainkan peranan yang penting dalam rawatan kemurungan.

Kemurungan juga sering dikaitkan dengan masalah spiritual menyebabkan kurang ketahanan mental. Rawatan alternatif seperti rawatan perubatan Islam sangat digalakkan di samping rawatan moden.

Ada beberapa tip bagi mengelakkan kemurungan sebelum melarat. Antara cadangan yang berkesan adalah melakukan sesuatu perkara yang sihat dan disukai seperti bersenam dan melukis.

Cara ini mampu meningkatkan perasaan gembira seterusnya dapat mengelak kemurungan. Di samping itu, meluahkan masalah yang dihadapi kepada seseorang yang dipercayai, contohnya ahli keluarga, kaunselor, doktor, pakar psikiatri atau pakar psikologi juga antara kaedah untuk mengekalkan kesihatan mental.

Pergaulan sosial yang sihat seperti berkomunikasi, sentiasa menghargai dan mempercayai orang lain, dapat menerima pendapat orang secara terbuka, serta memberi dan menerima kasih sayang juga mampu menangani masalah kemurungan.

Sokongan padu dan perhatian ahli keluarga terdekat dan sahabat karib sangat diperlukan bagi pesakit kemurungan untuk membina semula keyakinan diri.

Pantau orang terdekat atau diri anda sendiri, mungkinkah kita menghidapi masalah kemurungan? Segera dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan kerana kemurungan boleh membawa kesan buruk sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Jika ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi-5 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 12:40 AM
http://www.hmetro.com.my/sihat/2018/01/305556/murung-akibat-hormon-tak-stabil

Thursday 8 March 2018

Nukilan Rasa - Silaturrahim

Silaturrahim

Setiap detik yang kita harungi
Dalam meniti tali silaturrahim ini, sungguh indah...
Kau teman, Kau sahabat
Aku menyayangimu sepenuh jiwaku

Saat kita dipertemukan di batasan ini
Jiwa sepiku telah terisi...


















::coratcoretsijelitahati::

Nukilan Rasa - Laut Biru

















Aku ingin menulis sesuatu...
Entah, mungkin ada rasa rindu yang sedang bersarang dihati
Ingin kulepas rasa ini pada satu indah alam...
Tentang laut yang membiru , tentang rindu sekeping hatiku..


Laut Biru..
Luas sekali akan indahmu
Jauh ku lontar sebuah pandangan kosong

Pandangan kosongku yang sarat dengan rindu

Laut Biru..
Ubati lara hatiku dengan keindahanmu yang membiru
Damaikan renungan mataku dengan luasmu yang tiada tepi
Hiburkan jiwaku dengan melodi alunan indah ombakmu
Ombakmu yang bertemu pantai melepas rindu
Ombakmu yang menyentuh pantai membukti setia
Ombakmu yang berirama menghibur perindu di gigi pantaimu


Laut Biru..
Kemana hendah ku bawa gundah
Ketika aku menyusuri pantaimu
Bersama sekeping hatiku yang sedang hiba
Hati yang lelah dan lemah
Tidak sekental tetamu setiamu nelayan gagah

Tidak seutuh pantaimu yang tidak pernah retak
Tidak pula seindah mutiara yang tersembunyi
di dasarmu yang penuh rahsia


Laut biru..
Izinkan aku yang kerdil ini berlabuh seketika di pantaimu

Melepaskan hiba tatkala airmataku bersatu denganmu...

::coratcoretsijelitahati::




Petua Merawat Sakit Tekak

Dah 2-3 hari ini tekak terasa perit, pedih rasanya menelan makanan...hilang mood.
Mungkin disebabkan kurang minum air masak atau mungkin juga faktor cuaca..
Terfikir-fikir juga apa yang ada di rumah yang boleh membantu melegakan keperitan dan rasa sakit tekak ini ...Jadi mulalah klik-klik di internet untuk mencari petua-petua yang boleh dicuba....

Antaranya seperti berikut :

1. Garam
Sediakan air suam dan campurkan dengan sesudu teh garam.Boleh digunakan untuk berkumur.
2. Madu
Makan madu bersama air suam.
Adakalanya saya campurkan madu ke dalam teh suam atau perahan lemon.
3. Air Dan Lemon
Ambil air masak satu gelas dan perahkan lemon
Boleh diamalkan sehingga kesakitan reda
4. Air putih 
Minum air putih yang mencukupi untuk keperluan badan kita.

5. Sup Ayam

6. Makan aiskrim vanilla
Aiskrim vanilla dipercayai boleh membantu menghilangkan keradangan tekak.

Kurangkan pengambilan makanan yang pedas dan berminyak serta banyakkan minum air masak atau air suam...
Semoga bermanfaat


Monday 5 March 2018

Mark Adam & Khir Rahman | Bintang Bersama Bintang Akhir

Persembahan Mark Adam untuk Final Bintang Bersama Bintang
memang best..Kreatif meskipun dia bukan pelawak...

Tahniah...

Saturday 3 March 2018

Kelebihan si kidal

Majoriti daripada kita melakukan pelbagai aktiviti menggunakan tangan kanan. Malah sejak kecil lagi, kebanyakan kanak-kanak memegang objek secara automatik dengan tangan kanan.

Bagaimanapun, masih ada sebilangan orang yang dilahirkan dengan kecenderungan menggunakan tangan kiri atau kidal. Ini berlaku kerana mereka merasakan tangan kiri lebih kuat daripada tangan kanan. Secara tidak langsung, kelompok individu ini melakukan banyak perkara menggunakan tangan kiri.

Segelintir ibu bapa berasa gusar apabila melihat si kecil lebih pantas menggapai objek, menyuap makanan dan menghulur tangan kepada golongan lebih tua dengan tangan kiri.

Sekalipun diajar menggunakan tangan kanan, namun dalam kebanyakan situasi, anak kidal tetap mendahulukan tangan kiri. Hal ini mungkin dianggap biasa bagi masyarakat di barat, namun berbeza dengan orang timur, khususnya masyarakat Islam yang mementingkan tangan kanan dalam segala hal.

Begitupun, sebelum meletakkan sebarang persepsi, elok jika ibu bapa mengetahui sedikit fakta mengenai anak kidal.

ANAK KIDAL LEBIH KREATIF

Sebenarnya, tidak ramai yang dilahirkan kidal. Mereka terdiri daripada 15 peratus populasi dunia dan dianggap unik serta kreatif. Menurut kajian, kemahiran motor kanak-kanak berkait rapat dengan fungsi otak.

Otak besar manusia terdiri daripada dua bahagian, iaitu kiri dan kanan. Otak kanan berfungsi mengawal bahagian kiri badan, manakala otak kiri bertanggungjawab mengawal bahagian kanan badan. Namun bagi anak kidal, fungsi otak kanannya berkembang lebih baik dan dominan berbanding otak kiri.

Selain itu, otak kiri juga berperanan mengawal kemampuan berbahasa, bercakap, menulis dan semua perkara berkaitan tata bahasa. Sementara otak kanan pula berfungsi mengatur kreativiti, keupayaan persepsi, pengenalan dimensi ruang, situasi, waspada dan tumpuan.

Bagi kanak-kanak kidal, kecenderungan mereka menggunakan tangan kiri boleh dilihat seawal usia dua ke tiga tahun. Ketika ini, kemahiran motornya sedang berkembang dan akan menunjukkan bahagian mana yang lebih dominan. Sifat kidal akan lebih ketara ketika kanak-kanak mencapai usia lima tahun.

Terdapat beberapa fakta mengenai anak kidal yang boleh dijadikan rujukan serta panduan oleh ibu bapa. Antaranya;

1. Anak mewarisi kidal dari keturunan

Pada 2007, seorang penyelidik mendedahkan penemuannya berkaitan anak kidal. Ia berpunca daripada faktor keturunan. Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kes penghidap disleksia yang mempunyai gen simetri otak. Gen itu diturunkan daripada bapa, tetapi tidak bermakna kidal disebabkan kelainan simetri otak.

2. Bukan semua kidal semula jadi

Potensi kidal memang ditunjukkan sejak anak lahir. Tetapi, ada juga kanak-kanak yang kidal disebabkan faktor kesihatan, tangan kanan tidak berfungsi baik atau otot tangan kanan lemah hingga terpaksa menggunakan tangan kiri.

3. Anak kidal lebih peka

Menurut laporan dibentangkan Pusat Perubatan Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, pendengaran anak kidal lebih tajam dan mampu membezakan jenis suara dengan baik. Ini berbeza dengan anak dominan tangan kanan yang lebih dinamik dan mudah berubah hingga tidak sensitif dalam membezakan jenis suara.

4. Tidak tetap pendirian

Berdasarkan ujian tingkah laku yang diadakan di Scotland, didapati orang kidal lebih pemalu. Mereka bimbang melakukan kesilapan dan takut menerima kritikan hinggakan mudah bersikap ragu-ragu dalam membuat keputusan.

5. Sensitif

Anak kidal mudah berubah mood dan lebih sensitif. Ini kerana, segelintir daripada mereka tidak mempunyai keseimbangan dalam memproses emosi di otak kanan dan kiri.

6. Kreatif

Hasil kajian terhadap lebih 2,000 orang kidal menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada mereka lebih berbakat dalam bidang seni dan artistik.

7. Lebih penakut

Persatuan Psikologi British membuat penelitian terhadap beberapa orang kidal dan mereka yang dominan tangan kanan.

Semua responden diminta menonton filem seram. Hasilnya, kanak-kanak kidal mengingati dengan jelas setiap adegan yang menyeramkan dalam filem dan cenderung mengalami trauma.

8. Pintar

Anak kidal mempunyai otak yang lebih berstruktur, menjadikan kemampuan intelektualnya lebih tinggi dalam pelbagai bidang. Mensa, sebuah organisasi yang menghimpunkan pemilik IQ tertinggi di dunia menyatakan sekurang-kurangnya 20 peratus ahlinya adalah kidal.

Apapun, anak kidal mempunyai banyak kelebihan yang boleh dikembangkan dari semasa ke semasa. Justeru, ibu bapa dan guru seharusnya memahami dan menerima keunikan yang ada dalam diri anak-anak ini.

Ibu bapa khususnya, mereka boleh berbincang dengan doktor dan pakar berkaitan mengenai cara terbaik untuk mendidik, mengasah bakat serta mengembangkan potensi anak kidal berbanding mengubah keunikan semula jadi yang ada pada si manja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:31 PM
https://www.hmetro.com.my/hati/2018/03/317604/kelebihan-si-kidal

Friday 2 March 2018

Mufti tegur Neelofa

[[[ Mufti tegur Neelofa: ]]]

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menzahirkan rasa bimbang kontroversi pelancaran jenama tudung baharu pengacara popular, Neelofa bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung.